Siti Nur Aini Khasim
ainbalqiskhairul@yahoo.com.my

COKLAT PUTIH SEBAGAI TOPPING

Saya ingin bertanya, adakah boleh menggunakan coklat putih sebagai topping untuk kek coklat kukus yang saya ingin buat? Sekian.

Boleh gunakan coklat putih. Tetapi bila mencairkan dengan double-boiler, hendaklah di atas api paling perlahan. Adakah anda ingin menggunakan coklat putih yang dicairkan dengan lemak sayuran begitu saja?


Wan Salina Mohamad
wansallyna@gmail.com

CARA MELIPAT SAMOSA

Saya nak tahu bagaimana dan cara melipat samosa. Saya harap  puan dapat menunjukkan cara untuk melipat samosa.

Letak inti membentuk tiga segi (tinggalkan ruang tiga segi di hujung kulit) samosa. Angkat penjuru hujung dan lipat tiga segi untuk menutup inti. Sudah dapat bentuk tiga segi. Terus 'lipat' hingga ke hujung dan sapu pelekat (pes campuran tepung gandum dan sedikit air).


Sitisabun
sitisabun25@yahoo.com

MENYIMPAN ADUNAN KEK

1. Kebiasaannya, mengukus kek mengambil masa 45 minit sekali kukus. Bagaimanakah caranya untuk menyimpan lebihan adunan kek apabila kita mengukus dalam bekas yang kecil-kecil kerana kukusan tidak muat?

Adunan kek kukus tidak boleh disimpan terlalu lama kerana ia akan kurang kembang bila hendak dikukus. Sebaik-baiknya, letak dalam bekas bertutup. Bila hendak dikukus, kacau semula sebelum diletak dalam bekas kecil-kecil.

2. Apa bezanya penggunaan gula perang dan gula biasa dalam pembuatan kek atau biskut?

Gula perang menghasilkan kek yang lebih berat dan warna gelap seperti kek buah-buahan. Biskut yang menggunakan gula perang lebih gelap warnanya dan sesuai untuk biskut chocolate chips kerana ia juga harum. Biskut chocolate chips perlukan sukatan gula yang banyak supaya ia menjadi rangup. Biskut yang mengguna gula aising lebih ringan dan warna lebih terang.


Adzie
adzie98@yahoo.com

PERIHAL DONAT

Saya ada mencuba resipi donat seperti berikut:

Bahan-bahan:
Tepung gandum 3 cawan
Minyak masak 2 sudu
Yis 1 sudu kecil
Susu pekat 2 sudu
Air & garam secukupnya

Ketika diterap, gunakan tepung beras supaya garing.

1. Bagaimana untuk mendapatkan kulit donat yang lembut?

Goreng di dalam minyak kacang dan pastikan minyaknya banyak (goreng terendam).

2. Donat saya agak liat dan lama-kelamaan menjadi keras.

Tambah bread softener atau pelembut roti sebanyak 1 sudu teh ke dalam adunan semasa mengulinya. Juga 2 sudu besar marjerin sebab minyak masak yang digunakan terlalu sedikit. Berikut adalah resipi yang betul untuk membuat donut.

Bahan-bahan:
280ml air
300 gm tepung roti (high protein flour)
200 gm tepung gandum (plain flour)
10 gm garam
60 gm gula halus
20 gm susu tepung
1/2 camca besar baking powder
3 1/2 camca teh instant yeast
2 biji kuning telur
50 gm lemak sayur (shortening)
Cara membuatnya:

  1. Satukan kesemua bahan kecuali air dan lemak sayur. Adun hingga rata dan tuang air, gaul hingga menjadi doh lembut. Masukkan lemak sayur sambil terus menguli hingga mendapat doh yang lembut, kenyal dan tidak melekat di mangkuk adunan. Bulat-bulatkan doh, masukkan dalam satu bekas dan biar 1 jam (hingga naik 1 x ganda). 
  2. Canai setebal 1/2 cm. Terap dengan penerap donat dan alihkan ke dulang yang telah ditabur sedikit tepung. Buat hingga siap. Rehatkan 30 minit hingga naik lagi.
  3. Goreng donat dalam minyak sederhana panas. Jangan goreng terlalu banyak, cukup sekadar 4-5 biji saja, untuk mengelakkan suhu minyak jatuh mendadak. Bila kuning keemasan pada kedua-dua permukaan, boleh angkat dan toskan atas paper towel.

Hasmah Alan
asma_alan@hotmail.com

STEW DAGING

Saya teringin belajar memasak stew ayam dan daging. Saya telah cuba mencari di laman zonalaf tapi gagal.

Resipi Stew Daging

Bahan-bahan:
500 gm daging - dipotong kiub 2.5 cm
Tepung gandum
3 sudu besar minyak
2 ½ - 3 cawan air mendidih
2 kiub stok daging
1 labu bawang besar (putih lebih elok) - dikiub 2 cm
1 ulas bawang putih - ditumbuk halus
1 sudu teh serbuk cili
2 sudu besar puri tomato
½ sudu teh sos Lea & Perrins
½ cawan kiub lobak merah
1 cawan kiub kentang
½ cawan kiub saderi
Garam, serbuk lada hitam dan gula pasir secukup rasa

Cara membuatnya:
1. Salut daging dengan tepung. Goreng dalam minyak panas hingga keemasan.
2. Masukkan air, stok, bawang putih dll kecuali lobak, kentang dan saderi.
3. Tutup dan masak atas api perlahan selama 2 jam.
4. Hendaklah dikacau sekali-sekala dan tambah air jika perlu. Masukkan sayur tadi dan masak 30 minit lagi.

UNTUK STEW AYAM:
Tidak perlu masak lama, memadai 1 jam (renih) atas api perlahan.
Gantikan stok daging dengan stok ayam.


Rismasuri Bte Almalek,
Kota Marudu, Sabah.
ris.suri@yahoo.com

TENTANG OVALETTE & RESIPI KEK

1. Bolehkah ovalette dicampurkan ke dalam adunan kek butter?

Boleh.

2. Saya pernah mencuba, tapi kek tidak mengembang atau naik. Apa masalahnya?

Anda mesti pukul ovalette dengan gula dan mentega. Jangan guna terlalu banyak. Masukkan juga 2-3 camb susu segar dalam adunan kek 5 biji telur.

3. Adakah ia keberatan kerana menggunakan mentega?

Tidak, anda perlu pukul hingga kembang dan ringan. Buat kek butter berbeza dengan kek span. Kek span tak menggunakan mentega.

4. Tolong bagi saya resipi yang betul, resipi kek span yang sukatan tepungnya menggunakan 2 cawan atau 1 3/4 cawan sahaja.

Bahan-bahan:
250 gm tepung gandum
250 gm gula kastor
2 camb susu tepung
6 biji telur
60 gm minyak jagung

Cara membuatnya:
1. Pukul gula dan telur hingga kembang.
2. Masukkan sedikit demi sedikit tepung dan minyak, kacau dengan senduk plastik. Tuang dalam tin empat segi 20 cm yang dialas kertas kalis minyak. Tutup (longgar) dengan foil. Kukus dengan api kuat selama 30 minit. Cucuk dengan lidi. Jika lidi bersih bila dikeluarkan, ia sudah masak. Jika tidak, kukus lagi 6-10 minit.

5. Saya membuat kek butter kukus dan mencampurkan 1/2 cawan susu dutch lady dan menggunakan api yang kecil, tapi hasilnya kek saya masih juga berkedut atau berombak.  Di mana lagi silapnya?

Gunakan api sederhana. Tutup atasnya dengan foil supaya air kukusan tidak menitik.

6. Tolong beri saya resipi kek butter kukus yang sukatannya menggunakan 2 cawan tepung. 

Bahan-bahan:
8 biji telur ayam
250 gm gula
440 gm butter
380 gm tepong gandum
1 sudu makan susu pekat
1 sudu tea vanilla
1 sudu makan ovalette

Cara membuatnya:
1. Pukul telur dan gula hingga kembang.
2. Pukul mentega dengan susu hingga kembang juga.
3. Masukkan mentega ke dalam telur yang kembang tadi dan kacau hingga rata.
4. Masukkan tepung sedikit-sedikit diselangi dengan ovalette dan vanila hingga habis dan pukul adunan hingga menjadi pekat.
5. Gris loyang masukkan adunan dan kukus, tutup loyang dengan aluminium foil.


Ris Suri
ris.suri@yahoo.com
KOTA MARUDU, SABAH.

WHIP TOPPING

1. Whip topping tu untuk apa?  Untuk sapu atas kek ke? Apa campurannya?  Mahu dicampur dengan lain-lain bahan lagikah? Macam mana sukatannya dan cara-caranya?

Whip topping diperbuat daripada susu dan bahan-bahan pengawet lain. Jika tidak manis, campurkan dengan gula aising sebelum dipukul hingga keras. Tambah gula ikut manisnya. Kadangkala ia sudah manis. Pukul perlahan, kemudian sapu atas kek. Jangan pukul kuat kerana ia mungkin menjadi cair semula. Gunakan NON-DAIRY WHIP TOPPING kerana warnanya lebih putih daripada WHIPPING CREAM yang biasa.

2. Bolehkah bahulu kukus diletakkan ovalette?

Boleh.


 



Dibangunkan oleh Alaf Dua Puluh Satu Sdn. Bhd. 2007